Friday, November 20, 2009

Bencinta ke Final AJL 24




Faizal terlantar di hospital

SELEPAS menjalani pembedahan lutut kanannya pada September lalu kerana kecederaan sebelum ini ketika bermain futsal, kini penyanyi yang popular dengan gelaran Superman, Faizal Tahir, terlantar sakit di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman pada paru-parunya.

Lantaran itu, Faizal yang dimasukkan ke hospital pada malam Rabu (18 November) lalu selepas tidak tahan menanggung kesakitan dialami, gagal beraksi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-24 yang berlangsung malam tadi dan digantikan dengan Shila One In A Million 2 (OIAM2). Mempertaruhkan lagu berjudul Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik ditulisnya sendiri, Faizal gagal dihubungi untuk mengetahui lanjut keadaan semasanya.

Pada separuh akhir ketiga Muzik-Muzik yang berlangsung malam tadi di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, lapan lagu berentap iaitu Cinta Adam & Hawa (Misha Omar), Masih Jelas (Hafiz AF7), Rindu Terhenti (Tomok), Situasi (Bunkface), Patri (Jinbara), Ketika Ini (Estranged), Pergi (Aizat) dan Bencinta (Faizal).

Beritahu Pengurus Label Monkey Bone, Edris Adrian, ketika dihubungi, Faizal, 31, masih berada di hospital dan menerima rawatan. Namun, dia mendapat arahan daripada pihak atasan untuk tidak membenarkan mana-mana media mengunjungi Faizal atas nasihat doktor.

"Kecederaan yang dialami Faizal tidak teruk tetapi dia sangat lemah. Apatah lagi, sebelum ini dia ada menjalani pembedahan lutut dan sekarang jangkitan kuman pada paru-parunya. Disebabkan itu, doktor menyarankan kami supaya Faizal diberi ruang secukupnya untuk berehat tanpa mana-mana gangguan. Rawatan awal mendapati dia terkena jangkitan kuman, tetapi tidak tahu keadaan selanjutnya," katanya.

Bercerita detik awal terkena penyakit itu, beritahu Edrian, 35, Faizal sejak kebelakangan ini asyik mengadu sakit dada. Namun, naib juara OIAM musim pertama ini hanya menyangka ia sekadar sakit biasa hinggalah mengalami batuk darah pada malam Rabu (18 November) lalu.

"Awalnya, Faizal ingat dia salah tidur hingga menyebabkan sakit dada. Disebabkan itu, dia tidak kisah sangat dan terus menjalani latihan untuk separuh akhir Muzik-Muzik bagi lagu Bencinta. Selain bersungguh-sungguh berlatih, pada masa sama, Faizal juga sibuk merakam suara untuk album terbarunya.

"Selasa (17 November) lalu, ketika dia datang ke studio di Petaling Jaya untuk buat latihan seperti biasa, keadaannya nampak teruk dan sangat lemah. Melihat keadaannya itu, kami menasihatkannya supaya balik dan berehat di rumah. Sejurus sampai di rumah, Faizal memberitahu yang sakitnya lagi teruk dan sudah tidak tahan hinggalah pada malam Rabu lalu dia batuk darah.

"Malam itu juga Faizal dimasukkan ke hospital. Kami tidak tahu bila Faizal boleh keluar kerana masih menunggu untuk rawatan seterusnya. Menurut doktor, ada pelbagai peringkat rawatan selepas ini tetapi tidak boleh diberitahu kerana perlu menunggu keputusan rawatan seperti yang saya maklumkan sebelum ini.

"Sebenarnya, Faizal agak kecewa kerana tidak dapat membuat persembahan pada malam tadi. Kalau diikutkan, Faizal sudah lama membuat latihan dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memberi persembahan terbaik pada Muzik-Muzik. Bagaimanapun, dia tidak ketinggalan menyaksikan Muzik-Muzik malam tadi di hospital menerusi kaca televisyen biarpun masih sakit.

"Mungkin, kerana dia bekerja terlalu kuat hingga tidak sempat menjaga kesihatannya. Namun, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara ini. Cuma, kami doakan semoga dia cepat sembuh," katanya.

Beritahu Edris, ada kemungkinan besar Faizal akan berehat panjang selepas keluar dari hospital. Bagaimanapun, semuanya akan diberitahu pada sidang media yang akan diumumkan nanti.

"Seperti kita ketahui, Faizal baru saja menjalani pembedahan lutut dan kini jangkitan kuman pada paru-parunya. Dengan jarak masa yang terlalu dekat itu, kami rasa Faizal perlu berehat sekejap daripada karier nyanyiannya untuk kembali pulih seperti biasa. Namun, itu akan diberitahu pada sidang media yang akan diadakan nanti," katanya yang tidak mahu mengulas panjang mengenai perkara itu.

credit to:

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com.my
http://gua.com.my/photobank/article/1/9/0743401567244CCA8775A0489E279A4E.jpg

“Shila sudah buat yang terbaik. Malah Faizal (Tahir) ada hubungi Shila sebelum ’show’ untuk beritahu ‘no pressure’. Walau apapun keputusannya, dia menyokong Shila sepenuhnya,” jawab gadis berusia 19 tahun ini tentang komen yang persembahannya “hancur” ketika Separuh Akhir Muzik-Muzik malam tadi, dimana dia membawa lagu Faizal, “Bencinta”.

“Katanya, semua bergantung pada rezeki. Tak kira siapa yang nyanyi, kalau tak masuk, tak masuklah. Tapi dia percaya Shila boleh lakukannya. Shila tak boleh puaskan hati semua orang. Akan ada yang suka dan ada juga yang tak suka. Kepada yang tak suka, Shila akan lakukan yang lebih baik lagi selepas ini. Tapi buat Shila, Shila puas dengan persembahan Shila.”

Hanya sempat berlatih tiga kali, sehari sebelum persembahan, Shila yang tidak pernah menyanyikan lagu “Bencinta” walaupun secara suka-suka, memberitahu dirinya turut terkejut bila Faizal dan Audi Mok, selaku komposer, memberinya tanggungjawab untuk mempersembahkan lagu itu di Separuh Akhir Muzik-Muzik.

Kongsinya, dia tertanya juga kenapa dipilih tetapi kerana tidak mahu menghampakan kedua kawan baiknya, dia terima.

“Tapi sebelum Shila terima, Shila dah banyak bertanya orang-orang di sekeliling termasuk papa, okay ke Shila terima. Lagu ini bukan senang untuk dinyanyi. ‘Range’ dan ‘key’-nya memang ditulis khas untuk Faizal Tahir dan tidak diubah pun untuk Shila. Shila yang perlu sesuaikan vokal Shila dengan ‘key’ lagu.”

Ditanya jika dia mahu mempersembahkan lagu ini di pentas AJL24 nanti, jika kesihatan Faizal masih tidak mengizinkan, kata Shila, “Ia satu penghargaan yang besar buat Shila tetapi sebagai peminat Faizal Tahir, Shila lebih suka jika dia yang menyanyikan lagu ini.”

Menurut Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria, jika Faizal sudah sembuh sebelum malam AJL24, dia akan diberi peluang untuk mempersembahkan lagunya. Namun, jika kesihatannya tidak mengizinkan, labelnya iaitu MonkeyBone akan menentukan siapa yang bakal mempersembahkan lagu “Bencinta” di AJL24 nanti.

Source & Credits:
- www.GUA.com.my
- http://gua.com.my/Entertainment/Feature-Detail.aspx?ArticleID=4259


Shila akui membawakan lagu Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri itu sememangnya cukup mencabar buat dirinya

KETIKA menerima tawaran untuk menggantikan penyanyi asalnya, Faizal Tahir bagi membuat persembahan di separuh akhir Muzik-Muzik malam tadi, Shila sudah bersedia untuk menerima pelbagai kritikan daripada peminat-peminat penyanyi itu.

Membawakan lagu Bencinta ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri itu sememangnya cukup mencabar buat dirinya apatah lagi lagu tersebut popular di ‘tangan’ Faizal.

Namun, misi Shila pada malam itu adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh Audi dan Faizal sebaik mungkin serta berharap peminat-peminat penyanyi itu tidak membandingkan dirinya dan Faizal.

Ternyata, walaupun hanya mempunyai masa latihan yang singkat, Shila akui dia sudah melakukan yang terbaik dan tumpang berbangga apabila lagu itu berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) bersama 13 buah lagu lain yang akan berlangsung pada 10 Januari depan di Stadium Putra Bukit Jalil.

“Audi dan Faizal hubungi saya sendiri dan minta saya ganti menyanyikan lagu ini. Saya memang terkejut pada mulanya kenapa saya yang diberi peluang ini.

“Tetapi saya tidak kisah untuk lakukannya kerana mereka adalah kawan saya. Mereka juga pesan supaya tidak perlu rasa tertekan. Apapun, saya sudah buat yang terbaik. Kalau ada yang tidak suka persembahan saya tadi, saya tidak boleh cakap apa.

Faizal tetap mempunyai peluang untuk kembali beraksi di AJL24, bergantung kepada keadaan kesihatannya

“Cuma bagi saya, tidak adil bandingkan saya dengan Faizal kerana saya suara perempuan, dia suara lelaki,” kata Shila pada sidang media setelah berakhirnya program itu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Shila dipilih menggantikan Faizal pada saat-saat akhir setelah penyanyi itu dimasukkan ke hospital beberapa hari lepas sebaik mengadu sakit dada. Faizal kini masih ditahan di hospital untuk rawatan lanjut selepas mendapati muntahnya turut mengandungi darah.

Pemeriksaan awal mendapati penyanyi itu mungkin terkena jangkitan kuman pada paru-parunya.

Dalam pada itu, ditanya andai kata dia masih diberikan peluang untuk beraksi di malam kemuncak AJL24 nanti, Shila yang merupakan naib juara One In A Million musim kedua ini berkata:

“Jika diberi peluang untuk menyanyi di peringkat akhir nanti, saya akan terus memberikan yang terbaik untuk lagu tersebut dan pastinya saya mempunyai masa untuk membuat persiapan.”

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Pengurus Produksi Hiburan Primeworks Studio, Fadzliniza Zakaria berkata, Faizal masih berpeluang untuk mengambil semula ‘tempatnya’ pada AJL24 nanti jika sudah sembuh dan boleh melakukan persembahan.

“Kalau boleh, memang kita mahukan Faizal sendiri yang beraksi pada malam ini, tetapi nak buat macam mana kerana pada saat akhir, dia mengalami masalah kesihatan dan tempatnya terpaksa digantikan dengan orang lain.

“Tetapi untuk peringkat akhir nanti, jika dia sudah sembuh, kita akan beri peluang kepadanya untuk beraksi semula. Andai kata ketika itu dia masih belum sembuh, ia terpulang kepada pihak syarikat rakaman naungannya, Monkey Bone untuk membuat keputusan,” katanya.

Source & Credits:
- http://MSTAR.com.my/
- http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2009/11/21/mstar_hiburan/20091121083947&sec=mstar_hiburan

Link Peminat Faizal Tahir